Episod 183 : Tak Cerdik Tak Boleh Pilih!


Pengkapitalisan Umat

“Alah zaman nabi pun ada orang Miskin!”

Epidemik, sekiranya kita mulai perasan cara pemikiran kita sedikit sebanyak sedang dijangkiti satu cara berfikir untuk memandang tinggi rendah seseorang berdasarkan status. Orang yang kaya di atas, orang yang miskin berada di bawah. Boss di atas perlu di ikut, kita di bawah ‘apakan daya’. Gaji diterima tak kira banyak mana, asalkan duit jalan, yang majikannya duduk goyang kaki, “PASTIKAN KERJA SIAP!”

Itulah yang dinamakan kapitalisme. Pembezaan antara dua golongan, VIP vs GOLONGAN STANDARD.

Merujuk kepada dialog tadi kita dapat lihat satu cara pemikiran dalam kalangan mereka-mereka yang merasakan bahawa kemiskinan dan kesusahan itu adalah salah takdir. Maka beruntunglah bagi mereka yang lahir dari rahim ibu yang kaya raya. Yang kaya makan nasi berhidang, yang miskin makan hampas padi.

KAPITALISME

Mungkin sesetengah faham sistem kapitalisme ini adalah satu sistem yang hanya membincangkan  ‘yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin’. Hakikatnya kapitalisme ini jauh lebih luas perbincangannya, dan kesannya begitu tinggi buat sosioekonomi umat. Sekiranya kita membincangkan permasalah riba’ yang berleluasa untuk ekonomi kita hari ini, kapitalisme ekonomilah ‘kepala’ kepada mengapa riba diteruskan. Kapitalisme inilah mengapa MLM dan sistem piramid syok dijalankan di Malaysia.

Mungkin ramai tak perasan kemana perginya cukai tanah, cukai rumah, kepala, jalan, pendapatan dsb, kerana anda tahu bahawa kesemua ini bertujuan untuk kebaikan (demi negara yang membangunlah katanya). Tetapi sampai saatnya kewangan ini boleh mempermainkan setiap orang dari kita dengan pengawalan subsidi (minyak). Dari situ, muncullah isu yang pelbagai, bisinglah pula rakyat itu dan ini, maka penyelesaiannya pula adalah dengan POLITIK, sedangkan semua tahu ceritera ini sentiasa pusing-pusing kembali. Sampai waktunya pilihanraya, permainan ‘wang’ inilah waktunya kenikmatan klimaks buat sistem kapitalisme. Mengawal ‘hamba’ dengan duit.

Tahukah anda pula, bahawa ramai di antara kita juga berkejar-kejar untuk mendapatkan wang untuk mengisi poket sendiri. Kita tak perlu hirau orang lain, mereka miskin, mereka orang bangla, orang indon, dan sebagainya. Saudara kita adalah ‘duit yang banyak’, itu yang penting. Orang lain yang tidak dapat buat duit dengan banyak mereka hanya layak menjadi pekerja dan tidak layak untuk mengetahui proses penghasilan dalam bisnes. Ya, terlalu ramai yang teringin untuk menjadi seperti ini, ‘majikan goyang kaki’ dek idea yang kononnya dari mereka, dan usaha dari mereka.

Saat ini anda memandang duit itu sebagai emas kehidupan,

‘Orang atasan’ memandang duit itu hanyalah kertas, yang menyapu kecomotan mereka.

MERAWAT VIRUS KAPITALISME

Pengkapitalismaan pemikiran ini adalah kelemahan umat yang berlawanan dengan seruan hadis;

“(bandingan) antara muslim dengan muslim (yang lain) samalah seperti binaan yang tersusun kukuh, sebahagiannya memperkuat yang lain.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita hakikatnya mempunyai satu tanggungjawab yang besar, bukan ‘dibawa’ oleh kewangan, tetapi untuk memperkasakan umat. Projek juta-juta yang pernah kita cuba rancang KEENAKANNYA bukanlah sepatutnya dari duit yang anda dapat, dan boleh beli kereta mewah, tetapi menyelamatkan manusia dari ditarik hidungnya dengan duit!

Dahulu mungkin sistem perhambaan wujud. Kini, kapitalisme inilah sebenarnya sistem perhambaan moden yang dilaksanakan (cuma bezanya, tuannya adalah duit). Sebab itu Islam telah memberikan panduan kepada penyelesaian ini :

 “Ambillah sebahagian daripada harta mereka (umat Islam) sebagai sedekah, yang dengannya (ia dapat) menyucikan dan membersihkan mereka,” (at-Taubah: 103)

Itulah dia sistem zakat dan sedekah, harta ‘tanggungjawab’ orang yang dipertanggungjawabkan (kaya) untuk memberi kepada yang memerlukan.

Kalaulah bukan hikmahnya zakat ini perlu diberikan tangan ke tangan, nescaya yang zakat ini hanyalah ‘nilai’. Tetapi zakat itu sendiri mendidik kamu supaya kenal diri kamu, dan saudara kamu.

Kau memberi tanpa meminta pulangannya!

ZAKAT YANG HILANG

Sebenarnya kita masih kekurangan dana yang memperkuat ekonomi umat. Kita masih ramai peminta-peminta yang memerlukan. Kita masih banyak ‘projek umat’ yang tergendala angkara kesempitan wang. Tetapi yang paling menyedihkan, kita mempunyai ramai orang kaya yang tidak menyumbang. Apa gunanya jutawan itu ini, pakar kewangan atau motivasi yang  mendapat jutaan duit, kalau masih tidak memperuntukkan sebahagian harta untuk pertumbuhan umat?

Bukanlah kita meminta untuk setaraf dengan zaman Khalifah Umar Abdul ‘Aziz yang pada zaman pemerintahannya sehingga tidak ada yang miskin, apatah lagi yang layak untuk menerima zakat. Bukan kita meminta untuk sekuat pemerintahan Khalifah Harun Al-Rasyid, yang ketika itu ilmu menjadi kemuncak bersama kekuatan ekonomi umat Islam. Tetapi kita meminta agar cara pemikiran kita yang mengikuti dipenuhi pemikiran “telemovie Melayu’ yang dipenuhi dengan kapitalisme rendah-tinggi ini kita hancurkan.

Musnahkan erti cerdik disanjung, yang dibelakang tersadung!

PAKAR LABEL

Salah satu kekuatan orang kita adalah melabel. Dia orang negro, dia orang bangla, dia pekerja sapu sampah. Ketika memandang orang yang mempunyai kereta mewah sedikit, “oh orang cina biasalah”, seolah-olah kita menyalahkan takdir, sedang kita bukan kalangan orang yang berusaha.

Kita seringkali menganggap orang lain yang lebih baik mempunyai keturunan yang senang. Seolah-olah kekayaan itu juga beranak di dalam keluarga. Kalau cantik rupanya, maka orang yang layak hanyalah yang kacak baginya. Yang pintar, mereka sudah ada tempat di luar negara.

Kita golongan biasa yang menonton drama realiti ini meletakkan mereka sebagai watak utama kehidupan.

“JANGAN MEMILIH”

Dunia semakin tidak adil angkara ketamakan.

Kita perlu tahu di mana posisi kita sebagai rakyat, pekerja dan diri sendiri. Kadangkala kita jadi hamba matawang, akhirnya terjerat untuk memilih.

Hari ini terlalu ramai yang terkapai-kapai untuk memilih jurusan sendiri. Anda tidak boleh memilih, dunia berpihak kepada siapa yang cerdik pandai sahaja, bagaimana anda terima kenyataan ini?

Hari ini di Malaysia, saya terkejut mendengar berita bahawa pelajar Matrikulasi dan juga lepasan STPM yang mendapat 2.8-3.0 CGPA tidak boleh memilih jurusan mereka untuk ke universiti. Yang lebih cerdik dibentang karpet merah. Bak kata menteri pendidikan, “Jangan memilih”, maka hiduplah kamu sebagai pak turut yang disuap.

Hari ini tahap bisnes kita juga hampir-hampir segala produk nak di-MLMkan. Daripada produk kesihatan, kopi, yuran, sehinggalah sistem pendidikan berkursus untuk pelajar-pelajar sekolah. Semua orang nak berkejar-kejar nak jadi kaya ‘sambil memijak orang lain’, tetapi beralaskan lapik yang cantik dengan tujuan membantu. Dalam tidak sedar sebenarnya kita berdiri di atas ekonomi ‘hasad dengki’, itulah dia kapitalisme.

Yang ditegakkan oleh sandiwara senyap,

Merobohkan anak bangsa.

“Berhadapanlah dengan pilihan samada mengubah seseorang itu berfikir atau membuktikan bahawa tak perlu seperti itu. Hampir semua orang sibuk untuk memilih yang kedua” –Pakar ekonomi Kanada

2 Responses to Episod 183 : Tak Cerdik Tak Boleh Pilih!

  1. Sebuah peringatan yang segar, sebuah pencerahan. Dunia kian ketandusan semangat persaudaraan dek bahana rendahnya kuasa beli pengguna.

    Manusia menghabiskan waktu siang dan malam demi mencukupkan keperluan hidup mereka.

    Sungguh pintar kerja Zionis mencatur turun naiknya kewangan dunia.

    Moga kita tidak alpa dan terus berusaha demi pemberdayaan ummah.

    p/s: Selamat kembali setelah lama menyepi. Syabas…

  2. drsmy berkata:

    sekadar perkongsian pengalaman.

    di Mesir contohnya. Sangat sedih bila kita melihat kehidupan seorang yang bekerja sebagai “bawab” ataupun penjaga bangunan.

    mungkin mereka di bayar gaji, tapi mereka boleh dikerah dan dimarah sedangkan mereka pun ada perasaan. rumah mereka, bukan rumah, tapi bilik yang dikongsi dengan anak2 yang ramai. ada tu, yang tutup menggunakan kotak.

    dan yang paling sedih, bila tengok anak2 mereka terbiar, tidak diberikan pendidikan. kami sebagai pelajar di sana hanya mampu melihat tetapi yang penting adab kita dengan mereka. walaupun mereka tidak berharta tetapi sewajarnya mereka dilayan sebagai manusia yang punya perasaan. Islam tidak meletakkan perbezaan taraf seeperti yang terjadi pada zaman ini. Vip dilayan first class, yang tidak berada di layan sebaliknya..

    moga sistem “bawab” ini berubah dengan adanya presiden yang baru.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: