Episod 151 : Membayar ‘Zakat’ Sebuah Bakat

Ketika berada di hujung tingkatan empat, saya menyedari bahawa tahun berikutnya adalah sisa yang terakhir saya akan habiskan di bumi SMKA Pedas. Berada di bumi ‘Cemerlang di Dunia Sejahtera di Akhirat’ ini, saya telah merasai satu legasi yang sangat bermakna, setiap perkara yang berhubungkait dengan multimedia dan komputer, sayalah orang pertama yang dicari oleh guru-guru dan rakan-rakan.

Dalam keadaan mengakhiri tugasan saya berkhidmat di sekolah ini (di samping belajar) merupakan satu yang amat nostalgia. Saya telah mendapatkan satu pengalaman yang sangat manis, biarpun sesekali pahit, mengetuai segala yang berkaitan dengan komputer. Saya seringkali bertanya akan diri, adakah saya akan berakhir setakat itu?

Melihat dalam situasi itu, komputer dan multimedia ini telah semakin giat menjadi agen dakwah yang berkesan, saya merasakan ilmu-ilmu seperti ini amat bermakna diturunkan kepada adik-adik. Menjadikannya satu fenomena baru, melahirkan penggiat-penggiat multimedia yang berjiwa islam, himmah ‘aliyah.

Dengan itu penggalian bakat menerusi minat bermula.

Dalam usaha mengumpulkan adik-adik tingkatan 1 ketika itu saya bertanya dengan nada mencabar,

“Siapa yang minat komputer, montaj, multimedia, lepas ni jumpa abang di kanan musolla”

Satu persatu saya interview mereka. Rata-rata, ramai yang tidak tahu, namun saya yakin sisa-sisa akhir itu agenda ini akan berlangsung dengan mudah dengan membentuk satu pasukan. Pasukan multimedia, Islah Multimedia Generation (IMG).

AGENDA MULTIMEDIA

“Mungkin tahun ini kita cuba untuk menjadikan IMG sebagai satu pasukan multimedia sekolah”, cadang Faiz selaku ketua dalam IMG bagi tahun 2010.

Sejak bergerak tahun 2007, dengan kekuatan pasukan multimedia ini membantu sekolah dengan giat, kami ketika itu mula diberi kepercayaan yang tinggi oleh guru-guru. Semua itu tidak berlaku jika bukan dalam berpasukan walaupun majoriti terdiri dari kalangan junior. Ia sangat jauh berbeza ketika saya bersendirian melaksanakan dakwah multimedia saya.

Apa pun salah satu punca kami mampu bergerak jauh sehingga hari ini kerana pemilihan ketat dalam recruitment baru, yang mana kami amat menitikberatkan qudwah, dakwah dan ukhwah. Semua itu perlu berjalan seiring dan yang paling penting, minat itu sentiasa perlu dipahat.

Kata John C Maxwell, talent is never enough.

Sekadar bakat, itu tidak cukup!

Seperti mana dalam laman fanbook di facebook baru-baru ini admin telah menulis seperti ini :

“Kepada semua bala tentera IMG, pastikan sisa-sisa akhir cuti ini dengan memanfaatkan segala tutorial yang ada di YouTube, atau di mana-mana laman web. Perbanyakkan ilmu merepair pc dan hafalkan komponen-komponen dalam komputer dan fungsinya. Jangan lupa istiqamah dengan amal & kemahiran kita”

Ada yang bertanya kenapa pergerakan kami berpasukan terhad pada isu-isu multimedia dan hardware, bukan software. Lalu admin menjawab seperti ini :

“Exploration of software is greatly being our commitment. But software exploration comes to individual approaches. We don’t provide guidelines but we encourage to do so for personal growth.

Lots of us afterward share the knowledge on new softwares and their uses”

Itu adalah cara kami, bergerak selangkah demi selangkah.

Malah menariknya sebahagian dari mereka lebih faqih daripada saya sendiri.

Perkara yang ingin dikongsi di sini bukanlah semata-mata tentang pasukan ini yang bergerak menuju puncak. Tetapi ini adalah isu bagaimana satu kejayaan yang tinggi boleh dicapai, apabila bakat membayar ‘zakat’nya.

Apabila kita dianugerahkan bakat, kita sebenarnya telah diberi kepercayaan untuk menjalankan sebuah misi. Misi itu bergantung dengan kita, pelannya, agendanya.

BAKAT BERMULA DENGAN MINAT

Bakat itu bermula dengan minat. Kecenderungan kita terhadap sesuatu itu sebenarnya adalah sebab utama mengapa kita memilih ia sebagai sesuatu yang kita akan fokus.

Tujuan utama saya memanggil siapa yang minat ketika itu adalah kerana saya tidak dapat pastikan sejauhmana pengalaman mereka dalam dunia ICT ini. Tidak lain tidak bukan saya perlu memulakan dahulu dengan mereka yang berminat, bahkan sedia untuk belajar.

Kerana saya sentiasa percaya minat itu melipat ganda kecepatan dalam mendapat. Satu perkara yang diajar, sepuluh perkara yang dikejar. Kadang-kadang ia menjadi satu perkara yang menarik apabila orang-orang yang berbakat menjadi satu pasukan. Hasilnya jauh berkali-kali ganda berbanding melakukannya bersendirian.

Ibarat sebuah orkestra, masing-masing dengan bakat muzik masing-masing disatukan menjadi melodi yang indah.

BAKAT JANGAN DISEKAT

Seorang ahli psikologi mengatakan seorang manusia mempunyai 8 multiple intelligence iaitu mereka boleh berbakat dalam melakukan 8 perkara. Mungkin dalam sistem pendidikan kita, kita hanya boleh (menceburi) satu bidang atau dua bidang dalam satu masa. Tetapi, hakikatnya kita boleh pergi jauh lebih dari itu.

Saya teringat tentang kisah seorang pelari pecut barat. Sebelum 6 Mei 1954, tiada pelari dapat berlari sejauh 1 batu dalam masa kurang dari 4 minit. Menurut pakar fisiologi, rangka badan manusia yang berlari 1 batu dalam masa kurang 4 minit adalah satu perkara yang mustahil.

Satu hari, Roger Bannister mencabar dan memecahkan fikiran mustahil tersebut dengan berlari sejauh 1 batu dalam masa 3 minit 59 saat!

Apa yang terjadi selepas itu, pada tahun yang sama, beberapa pelari lain berjaya melepasi benteng 1 batu dalam masa kurang dari 4 minit. Tahun-tahun yang seterusnya juga menyaksikan lebih ramai pelari
berjaya memecahkan benteng 4 minit tersebut!

Apa yang telah terjadi?

Kisah Roger Bannister ini sering diceritakan dalam buku-buku motivasi barat. Ia menunjukkan bahawa benteng pertama yang perlu dilalui adalah benteng di minda. Apabila ia kelihatan mustahil, maka, ia sememangnya mustahil.

Tetapi, sekiranya ia terbukti boleh dilakukan, maka, benteng di minda sudah tiada lagi dan lebih ramai atlit dapat melakukan larian tersebut.

Bermakna di sini sebenarnya terlalu banyak perkara yang menyebabkan kita tersekat untuk mengasah bakat.  Banyak halangannya untuk menjaga dan mendidik bakat terpendam, lalu ramai yang memilih jalan berfikiran biasa. Alangkah ruginya bakat yang mampu menghasilkan emas digunakan hanya untuk menghasilkan batu.

BAKAT PERLU SENTIASA DIPAHAT

Satu perkara yang saya selalu pesan kepada pasukan saya adalah berhenti dari bekerja di lapangan yang masih mereka lemah dan tumpukan sepenuhnya kekuatan yang ada pada mereka. Jika itu minatnya, maka perkuatkan bahagian itu.

Seorang ahli pasukan kami mempunyai seorang yang dikira protege nasyid. Dalam hal ini, dia agak berminat dalam menyertai pasukan kami. Untuk itu, kami serahkannya dalam IMG ini untuk perkembangkan aspek audio system.

Maka segala yang berkaitan dengan audio, sound system, sound synthesizer, record diserahkan kepadanya. Malah dalam montaj, saya khususkan bahagiannya untuk menghasilkan impak dalam persembahan itu. Dalam masa yang sama, kemahirannya tentang audio memberikan manfaat terhadap kumpulan nasyidnya.

Tentu sekali andai saya meletakkannya di tempat grafik atau bahagian montaj, dia mungkin boleh laksanakan tetapi hal itu perlu mengambil masa yang lama. Tetapi meletakkannya di bahagian kemahiran audio system, dia melakukan terbaik menurut kemahiran dan bakatnya.

Adakalanya saya juga pernah terjumpa dengan beberapa orang yang mempunyai minat yang sangat kuat, tetapi dia tidak mampu. Ini sentiasa berlaku pada yang minat tentang seni melukis. Malangnya mereka tidak biasa melukis dan mereka tidak tahu bagaimana untuk memahat minat.

Hal ini mengingatkan saya ketika menghadiri kursus pembuatan komik anjuran PTS (Komik M), seorang speaker di antara mereka merupakan seorang yang minat melukis sejak kecil. Namun dalam hal itu, dia tak berjaya mengasah bakatnya menjadi seorang pelukis.

Akhirnya membawa dia menjadi (seorang) penulis. Masih dalam skop penghasilan komik. Penghasilan komik memerlukan 7 orang pasukan. Walaupun penulisan itu tidaklah sepertimana matlamat minatnya, (namun) komik yang telah dihasilkan masih dikira bahawa dia turut menghasilkan komik itu!

BAKAT YANG MENDAPAT TEMPAT

Irfan Khairi, pioneer kaedah jutawan internet pernah berkata dalam newsletternya:

“Sering saya beri contoh di Workshop Jutawan Interenet bahawa, saya ni bukannya hebat sangat dalam merekacipta (designing). Lagi ramai muda-mudi di Malaysia yang lagi hebat dari saya dalam bidang designing.

Tetapi, saya mempunyai ilmu dalam memasarkan rekacipta saya.

Mempunyai kepakaran dan kemahiran sahaja tidak mencukupi. Anda perlu tahu cara untuk memasarkan kepakaran & kemahiran anda. Dalami ilmu pemasaran supaya kepakaran dan kemahiran anda dapat memberi pulangan tertinggi kepada diri anda”

Walaupun di sini perbicaraannya lebih kepada perniagaan, kita ambil contoh bahawa tindakan proaktif dan kreatifnya dalam memasarkan bakatnya menjadikannya mendapat tempat.

Bukanlah di sini saya bermaksud kita menjaja bakat kita.

Kebiasaannya orang yang pandai meletakkan bakat itulah yang biasa mendapat tempat yang baik. Contohnya mudah.

Seorang jurukamera (photgrapher) mungkin bermula dengan satu set kamera. Dengan kamera itu hanya mempunyai satu kit lens yang biasa. Tetapi apabila dia pandai menggunakan bakatnya, mempelajari dengan mendalam professional yang lain, lama-kelamaan dia akan semakin mendapat tempat.

Selama saya bersama dengan komuniti jurukamera ramai diantara mereka yang semakin lama semakin hebat shootnya. Hari demi hari, tiba-tiba ada lens besar yang baru. Seperti mana yang kita tahu, setiap barang-barang kamera tidak pernah murah.

Sebab itu ada yang menggunakannya buat permulaan, wedding photography (yang biasanya memakan ribuan). Kemudian apabila cukup set lens yang besar (telephoto lens), dia meningkat ke peringkat event photography. Ada juga yang memulakan perniagaannya dengan internet, menjual hasil tangkapan-tangkapan mereka, lebih-lebih lagi syarikat majalah yang terlalu demand dengan foto-foto yang menarik.

Akhirnya bergantung kepada mereka kepada fotografi apa yang akan diusahakannya (food photography, micro photography, sports photography, event photography, wedding photography, science photography dan sebagainya)

Dapatkan tempat bakatmu!

BAYARAN SEBUAH BAKAT

Sebab itulah untuk apa yang saya sampaikan ini, setiap kita ini telah diberikan kenikmatan dan kelebihan masing-masing. Pada tahap Islam yang ada pada hari ini, kita terlalu ketandusan bakat-bakat muslim yang baru. Sedangkan zaman Abbasiyah dahulu menjadi kemuncak kehebatan Islam. Mereka telah dilatih (dengan) kepakaran yang sangat menakjubkan.

Mungkin pada ketika ini anda mempunyai bakat tersendiri. Mungkin juga anda tidak mahu menonjolnya.

Tetapi ingatlah, serahsia mana anda menanam bakat itu, anda masih berhutang dengan nikmat yang khusus diciptakan kepada anda.

Mengapa perlu mengelak jika orang yang memerlukan anda kerana tiada insan lain yang berbakat boleh melakukannya?

Bayarlah ‘zakat’ sebuah bakat.

Nikmat Allah terhadap hambanya.

Dari Abu Zar r.a, katanya : “Rasulullah ditanya : “Bagaimanakah pendapat Tuan perihal seorang lelaki yang mengerjakan sesuatu amalan yang baik dan ia mendapatkan pujian dari orang banyak kerana amalannya itu?” Beliau s.a.w bersabda : “Yang sedemikian itulah kegembiraan seorang mukmin yang diterima secara segera – yakni semasa di dunia sudah dapat merasai kenikmatannya” [Riwayat Muslim]

4 Responses to Episod 151 : Membayar ‘Zakat’ Sebuah Bakat

  1. Sarah Mustaza berkata:

    Menarik sungguh!
    Syukran atas elaboration yg membuka mata n minda ana.
    Aiming to be a professional photographer one day, huhu. Doakan.
    Kat sini terlibat dgn kerja2 multimedia, but the source of knowledge n skills terhad kpd internet shj. Maybe belum ramai tenaga Melayu yg mahir kat sini.
    Mintak izin copy post ni boleh..?

  2. Akmal Hakim berkata:

    Salam @ Sarah Mustaza,

    Sekadar pengalaman dan tercetus idea yang diilhamkan oleh-Nya. Mencuba-cuba untuk menulis seperti mana yang ditulis oleh pakar-pakar dalam sesuatu bidang (nampak sangat jauh bezanya!). Semuanya bermula dari kosong~

    Bagus sangatlah kalau nak jadi photographer. Dalam kebanyakan program, ana sendiri memang tak ambil gambar muslimat dan menjauhkan diri seboleh-bolehnya untuk tujuan itu. Kalau ada pun, atas tujuan tertentu atau formaliti. Itupun silap-silap sebelum hantar gambar dah didelete. Biar ada yang khusus mengambil gambar untuk bahagian muslimat, barulah betul!

    Internet itu adalah source of multimedia knowledge sebenarnya. Kebanyakan dari kami top-up ilmu multimedia dari internet. Oklah tu, ada waktu kosong, belajar dari pakar-pakar seluruh dunia. Bukankah ada Doktor Google?

    Silakan copy, ikutlah nak link atau tidak. Nak edit pun tak apa.

  3. jalanakhirat berkata:

    Asalamualaikum

    Salam kenal

    weblog pakcikli00 yang sesuai untuk semua.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: