Episod 146 : Lepasan SPM; Lepas Ini Nak Buat Apa?

“Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya” [Surah Al-Mukminun : 61]

Saya telah beberapa kali bertemu dengan junior yang baru sahaja lepas SPM baru-baru ini. Ada yang bertemu di dalam bas, ada di kedai buku, program sukan dan sebagainya. Suka sekali saya mengambil peluang bertanya,

“cuti-cuti ni buat apa?”

Ada sebahagiannya ingin mengambil lesen, ada yang bekerja part time, ada juga yang ingin menyambung menuntut ilmu. Tetapi ada juga jawapan, “Tak tahu nak buat apa”

TAK TAHU NAK BUAT APA

“Habis SPM ni aku nak puas gila-gila”,

“Huii…. tak sabar-sabar nak cuti ni..”

Sekitar perbualan itulah yang saya selalu dengar ketika tempoh SPM dahulu. Saya sendiri tak terlepas dari kalangan itu. Tetapi kalau benar kita menanti-nantikan cuti sepatutnya tidak wujud ‘tak tahu nak buat apa’.

Ibarat seorang yang inginkan sebuah beg yang cantik dan besar. Tetapi setelah mempunyai beg itu, katanya “tak tahu nak isi apa”. Boleh jadikah?

Samalah seperti cuti. Nakkan cuti takkan nakkan kosong sahaja? Nak tidur, makan, minum, mandi sahaja? Alahai robotnya hidup seperti ini!

Mungkin artikel yang saya tulis sebelum ini ada kaitan : https://senikehidupan.wordpress.com/2009/10/17/nota-peringatan-bercuti-fizikal-jangan-berhenti-mental/

PERJALANAN SELEPAS SPM

Bayangkan anda selama ini di dalam satu tempat, 4 dinding. Anda tinggal di sana selama anda perlu belajar bersama rakan-rakan, dan anda dibimbing oleh guru-guru. Itulah sekolah anda.

Tetapi kali ini, anda bakal keluar melalui pintu yang dikhususkan setelah anda habis belajar di sana. Di luar sana adalah lautan. Di hadapan anda ada beribu-ribu pulau yang anda akan pilih untuk tinggal.

Sekarang anda dibekalkan sebuah perahu, untuk anda mendayung sendiri kemana-mana pulau yang anda hendaki. Terpulanglah anda ingin mendayung bagaimana sekalipun. Perahu itu hanya muat seorang.

Anda menghadapi satu kenyataan; anda belajar dan tahu untuk mendayung dengan ilmu yang ada, anda tahu pulau-pulau itu tetapi anda hanya boleh pilih satu pulau untuk survival anda, dan anda tidak boleh berpatah balik.

Seperti itulah yang saya ingin maksudkan dalam dunia selepas SPM ini. Biarpun mungkin ia dianggap biasa oleh sebahagian orang, hakikatnya ini adalah penentuan pendirian kita yang sebenar.

Anda mungkin telah habis sekolah, tetapi pelajaran anda tidak habis di sana. Tempoh anda ‘mendayung’ kehidupan anda ketika cuti itulah mula anda menjadikan ilmu yang ada itu praktikal. Akhirnya akan membawa anda ke pulau yang anda pilih, belum tentu pulau yang anda inginkan.

Ingatlah mendayung kehidupan ketika itu akan menghadapi ombak pengaruh dan mehnah yang bakal menjadikan anda putus asa. Bahkan mungkin menjadikan anda tersalah ‘pulau’. Ketika itu anda telah terlambat untuk memilih pulau lain. Walaupun boleh, anda hakikatnya telah membuang duit dan membuang masa yang banyak kerana kecuaian anda.

Ingatlah, ini bukan perjalanan yang main-main. Ini adalah perjalanan sebuah penentuan.

PERJALANAN MENCARI NILAI

Covey menyebut dalam bukunya 7 habits, “Reactive people are driven by feelings, by circumstances, by conditions, by their environment. Proactive people are driven by values” – Orang reaktif dikawal oleh perasaan, kedudukan, keadaan dan persekitaran. Orang yang proaktif dikawal oleh NILAI.

Anda cukup ditauliahkan proaktif jika anda tidak terkesan dengan keadaan dan persekitaran yang seringkali mengajak anda untuk menukar pilihan. Ingatlah selama saya berpengalaman meninjau rakan sebaya dan adik-adik lepasan SPM, satu yang mengikat kita sebenarnya adalah rakan-rakan kita.

Saya tidak menyuruh untuk meninggalkan rakan-rakan. Jauh sekali.

Tetapi rakan-rakan kita itulah memori persekolahan kita selama 5 tahun di sana. Rakan-rakan itulah yang menaikkan dan membimbing kita di waktu kita susah. Tetapi bagaimana jika ramai di antara mereka yang lari dari ‘rakan anda yang sebenar’ ketika sekolah dahulu?

Adakah anda ingin mengikut?

Kerana anda akan menghadapi satu kenyataan, ketika pemilihan universiti, anda mungkin akan memilih pusat pengajian yang majoriti rakan sekolah lama (walaupun tidak dinafikan ada yang memilih bersendirian).

Oleh sebab yang saya bawa di sini membicarakan erti nilai, iaitu bersegera, mulakanlah langkah untuk sentiasa berhubung dengan rakan lama dan bentuklah pasukan yang sentiasa peringat dan memperingatkan.

Ingatlah, selepas SPM ini memang satu kebiasaan, ada yang memilih hijrah, ada yang memilih padah.

Anda akan mengenal siapa rakan anda yang sebenar ketika mengambil keputusan SPM.

Boleh rujuk entri ini tentang proaktif & reaktif : https://senikehidupan.wordpress.com/2009/02/21/muslim-reaktif-vs-muslim-proaktif/

YANG BERMANFAAT

Ada yang tekad selepas SPM untuk belajar perkara baru. Ada yang ingin memperdalam ilmu agama, ada juga yang ingin menolong ibu bapa. Alhamdulillah, tahniah jika anda bersikap sedemikian.

Jangan menyesal jika anda pernah berazam tetapi tidak menjadi.

Lebih baik kita memasang azam tak buat apa-apa daripada tidak ada azam dan tak buat apa-apa.

Bimbinglah diri untuk menjadi yang terbaik sebelum menempuh dunia universiti ini, carilah manfaat sebaiknya.

Bagi yang akan pergi ke Kem Lepasan SPM (KLS) anjuran PEMBINA, 25-27hb Disember ini, saya ucapkan tahniah, berilah manfaat sepenuhnya buat diri.

Bagi yang tak dapat, insyaAllah kalian boleh cuba berusaha untuk menghadiri program yang sama yang dianjurkan oleh pihak-pihak lain.

Sekiranya anda masih keliru dan tak tahu memilih kerjaya, silalah ke artikel berikut : https://senikehidupan.wordpress.com/2009/03/13/episod-76-keliru-memilih-masa-depan/

Sebarang persoalan dan komen saya amat alu-alukan. Sekiranya baik disebarkan, silakan. Bimbinglah diri dan rakan-rakan kita ke jalan yang betul!

15 Responses to Episod 146 : Lepasan SPM; Lepas Ini Nak Buat Apa?

  1. Kipp berkata:

    Kebanyakan graduan di Malaysia tiada nilai selepas tamat universiti. Kenapa? Kerana mahu survival, mereka yang berkelulusan engineer hanya dapat berharap masuk KPLI agar dapat menjadi guru, dapat gaji bulan2 dan pencen. Bagi yang ingin menjadi engineer, mereka tertunggu-tunggu jawapan universiti tetapi kecewa kerana diisi oleh orang lain yang tak tahu nilai ilmu. Kenapa tidak berfikir sebelum masuk U? Kalau mahu jadi guru sahaja, maka lebih baik mask maktab perguruan atau course pendidikan sahaja. Jawapan mereka mudah – ikut kawan, course power, tiada hala tuju, ikut cakap orang…. Bagi yang lepas SPM, kini masa untuk anda mencari hala tuju hidup agar tak buang masa dan tak menyusahkan orang lain.

  2. realitihidupku berkata:

    “Lebih baik kita memasang azam tak buat apa-apa daripada tidak ada azam dan tak buat apa-apa.”

    betul 3x..

    kalau kite niat nak buat baik, pun dah dapat pahala…

  3. mira berkata:

    salam~~
    nice blog..
    salam ziarah~~

  4. Akmal Hakim berkata:

    Salam @ Kipp,

    Jika menyatakan kebanyakan graduan tinggi nilainya selepas universiti pun ada betulnya. Dunia kan sentiasa berubah?

    Apa pun, sebenarnya bagi saya hidup ini bukanlah apa yang kita fikirkan. Tetapi apa yang kita pilih.

    Bukan sedikit yang melihat cita-cita tapi tersasar idea. Tetapi takkanlah mereka patah balik dan putus asa. Ada yang lebih selesa bekerja sendiri, ada yang lebih selesa berbisnes, walaupun belajar bahagian medik.

    Bagi saya, saya senang melihat mereka memilih kerjaya yang mereka ingini setelah belajar. Tak ada yang ruginya belajar ni. Lepas belajar, pilih kerjaya yang mereka ingini dan sukai, dan itu mungkin lebih berganda-ganda produktiviti mereka. Tak gitu?

    Tak ada yang dalam dunia ini mampu menentang satu hukum alam, iaitu dalam aspek mengikuti. Yang membezakannya tahap kita mengikut itu, dan tahap mana kita menilai pengikutan kita. Tak ada orang yang tak tahu apa yang dia buat bila dia memilih untuk mengikuti orang lain.

    Itu sahaja pandangan saya.

  5. nurazah fathirah berkata:

    Tak semua belajar untuk cari kerja… Ramai juga ikhwah yang belajar untuk kehidupan~

  6. filsuf92 berkata:

    kehidupan ni ada soalan
    soalan yang mungkin membina
    kalau kita btul2 mencarinya pada tempat yg betul

  7. Akmal Hakim berkata:

    Ya, betul tu farid😉

  8. krimn9 berkata:

    artikel yg menarik.. mohon izin diletakkan dlm blog krim ns ya. jzk.
    http://www.krimns.wordpress.com

  9. Akmal Hakim berkata:

    silakan~

  10. insan berkata:

    assalamualakum..
    boleh saudara ceritakan mengenai architecture.
    skrg ni dgr2 bdg architecture x brape mndapat sambutan dalam pekerjaan.
    benarkah?
    saya lepasan spm..
    tgh berfikir hendak meneruskan dlm bidang architecture atau tdak..

  11. aisyah berkata:

    salam….
    saya nak tanye about architecture jugak….
    lepasan spm juga…
    ade cikgu penah nasihat kan saye,
    kalau nak study seni bina, kalau boleh belajar dalm negara dulu.. katenya pay die jauh lebih bagus dari kalau luar negara… betol ke…
    saya bukan pentg kan sagt pay, tp curios la jugak..
    sebab saye nak aim, nak jugak blaja luar negara..
    and betol ke yg insan berkata tu tulis….
    confius lah..

  12. Akmal Hakim berkata:

    Waalaikumsalam @ insan

    Untuk mengetahui lebih lanjut secara kasar dunia architecture ini, bolehlah saudara ‘terbang’ ke bahagian ini : https://senikehidupan.wordpress.com/category/kerjaya/seni-bina//

    Itu sekitar penulisan saya berkenaan dengan seni bina.

    Tentang prospek dunia pekerjaan, architecture bukan tak berapa mendapat sambutan. Arkitek adalah kursus professional, jadi masakan ia tak mendapat sambutan dalam pekerjaan?

    Cuma, dalam situasi di Malaysia ini, kita masih projek-projek kebanyakannya masih di peringkat bias, namun banyak lagi firma-firma arkitek yang masih boleh ‘survive’.

    Pada pandangan saya, Malaysia sedang mula menggiatkan ‘green technology’ dan pembinaan akan bertambah pesat ketika mula mencapai wawasan 2020 sedekad lagi. Bermakna ada potensi yang sangat besar lagi buat arkitek masa depan.

    Seorang arkitek adalah ‘master builder’, dan dia juga bagi saya adalah seorang designer yang kritikal. Campak mana-mana sahaja arkitek ni, dia boleh ‘survive’, bukan hanya tahu design bangunan sahaja.

    Sekiranya saudara ada merasakan keunikan dalam design saudara, kenapa tidak masuk dalam dunia arkitek ini?

  13. Akmal Hakim berkata:

    Salam @ aisyah,

    Terima kasih kerana sudi bertanya tentang dunia arkitek ni.

    Kebetulan saudari bertanya kepada orang yang tepat tentang belajar dalam atau luar negara ini.

    Saya kini belajar di asasi UIA dalam seni bina. InsyaAllah saya sekarang dalam proses untuk undergraduate di luar negara (part 1)

    Saya tak jelas persoalan ‘pay’ saudari. Mungkin saudari menganggap tentang pembayaran atau mungkin juga resultnya. Saya kira lebih tepat tentang hal education fees.

    Sebenarnya dalam pada kita nak belajar ni, kita kena ketepikan dahulu soal kuantiti. Tetapi kita fokus utama pada kualiti, walaupun saya tak nafikan bahawa kuantiti juga kritikal.

    Malaysia memang mempunyai banyak tajaan biasiswa, tetapi untuk bidang seni bina, hanya JPA sahaja yang menanggung kos seni bina. Dalam hal itu, soal bayaran tak perlu difikirkan sangat.

    Begitu juga jika dapat rezeki ke luar negara, itu pun tak mengapa.

    Untuk pengetahuan aisyah, mungkin maksud cikgu saudari ‘belajar dalam negara dulu’ bererti selesaikan part 1 di M’sia dan part 2 di luar negara. Ramai sahaja yang buat demikian.

    Di Malaysia, part 2 kita masih di baca Bachelor, berbanding di luar negara, part 2 dikira master.

    Kebiasaannya di mana-mana tempat universiti, dunia seni bina ini sangat unik. Learning discipline pun berbeza-beza. Ada universiti yang banyak teori, ada yang banyak praktikal, dan ada juga balance.

    Semuanya ada kelebihan.

    Seperti di UIA,di sini terlalu banyak add value, terutamanya english dan skill-skill yg pelbagai. Mereka mengamalkan produk multitalented dan competent student.

    Di universiti lain tak buat macam ni, tetapi ada keunikan yang universiti lain tak ikut macam dia. Macam itulah. Sebabnya saya kata berbeza, architecture ni banyak bermain dengan input mental.

    Apapun, biarlah kita jadi pakar dan unik untuk diri sendiri. Tak semestinya universiti power, kita pun akan power. Begitu juga sebaliknya..

  14. […] Jika sebahagian pengkaji cuba memahami dan membuktikan apa yang disebut oleh Albert Einstein dan Newton tentang teori relatif masa (relativity of time), Islam pula telah lama memperkatakan tentang keberkatan umur dan waktu. Mereka yang meterialis barangkali tidak dapat berfikir bagaimana mungkin masa seseorang insan dengan seorang yang lain berbeza. Bagaimana mungkin sejam si A lebih panjang daripada sejam si B?. Mereka kehairanan dan pemikiran materialistik memang tidak dapat menerima hal ini. [Artikel oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin]   Episod 146 : Lepasan SPM Lepas Ini Nak Buat Apa?  […]

  15. […] NOTA KAKI; Episod 146 : Lepasan SPM Lepas Ini Nak Buat Apa?  […]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: