Episod 144 : HIJRAH; Bayaran Sebuah Perubahan

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..” [Surah Ar-Ra’d : 11]

Andaikata seseorang terkena bisa racun, seseorang itu perlulah menjalani satu proses yang amat menyakitkan. Dia perlu mengeluarkan bisa itu dengan pelbagai cara agar bisa itu tidak merebak ke seluruh badan. Caranya pelbagai, mungkin paling mudah dengan memberikan antidot. Tetapi jika tidak mampu, mungkin perlu menggunakan cara yang lebih keras.

Tentunya ia adalah sesuatu yang sangat menyakitkan. Namun demi ingin menyelamatkan nyawa, pesakit tersebut perlu redha dengan apa-apa kaedah sekalipun untuk mengeluarkan racun.

Begitu juga hakikat sebuah perubahan. Kadang-kadang kita perlu menerima hakikat bahawa proses menghilangkan racun jiwa yang lama tersimpan memerlukan pengorbanan yang sangat hebat. Kita perlu membayar harganya.

Menginginkan sebuah perubahan dalam hidup ia tidaklah semudah kita mengupdate antivirus. Kononnya dengan update antivirus itu kita mampu melawan seluruh virus yang telah bersarang teruk dalam komputer. Tetapi, kita perlu mengformatnya, yang mana kita mungkin akan kehilangan banyak software dan dokumen-dokumen yang penting.

Sebab itu, cara untuk kita bergerak menuju sebuah perubahan itu adalah dengan mengorbankan banyak perkara yang kita biasakan. Kadang-kadang ia adalah bersangkut dengan perkara yang amat kita sayangi, tetapi itulah dia harga sebuah perubahan.

Kita tidak boleh menjangkakan perubahan yang ingin kita capai dengan hanya berkata-kata, dengar ceramah, baca buku dan sebagainya. Tetapi perubahan itu memerlukan satu kekuatan ibarat empangan yang menahan keinginan jiwa dan kehendak diri yang begitu deras. Perubahan itu adalah mujahadah yang terbit dari keinginan fitrah jiwa kita, yang ketika itu mula merasakan tidak kena pada diri akhirnya membina momentum untuk menghentikan tindak-tanduk yang tidak kena dalam diri.

Akhirnya bermulalah proses perubahan.

PROSES PERUBAHAN

Ramai yang menganggap untuk berubah itu mudah. Ada juga yang menyangkakan inginkan perubahan itu adalah proses yang cepat.  Berubah itu bukanlah seperti  microwave oven, memanaskan ayam dan daging dengan hanya beberapa minit. Perubahan itu adalah proses yang sangat lama dan pengadaptasiannya memerlukan sedikit masa.

Bukan senang untuk berubah dalam keadaan sekeliling dan rakan-rakan lain bertentangan pada perubahan yang kita inginkan. Tetapi hakikat seseorang yang inginkan tranformasi jiwanya mampu menongkah segala permasalahan di sekelilingnya.

Dengan itu ia perlu MENGISYTIHARKAN MUJAHADAH terhadap dirinya.

Pengisytiharan mujahadah itu adalah satu permulaan memperkukuhkan prinsip baru terhadap diri. Prinsip itu pula ibarat sebuah perisai yang kuat menggagalkan panahan nafsu daripada menyerang tuannya.

Namun demikian berprinsip ketika memulakan perubahan belum cukup tanpa pencarian yang sebenar-benarnya. Seseorang itu kemudian perlu mencari kenapa ia perlukan perubahan itu. Pencarian itu adalah jawapan kental mengapa perubahan itu harus dimulakan agar ia adalah perubahan mutlak yang mempengaruhi hari ini bahkan masa-masa hadapannya.

Dengan itu kukuhlah sebuah prinsip bersulamkan perubahan.

MEMAHAMI PERUBAHAN

Momentum sebuah perubahan itu sebenarnya bukanlah mudah diterima oleh manusia. Dalam erti kata lain, perubahan ini bukanlah satu isu yang kecil. Tetapi ia adalah berkait rapat dengan masa depan yang bakal kita tempuh dengan keputusan perubahan itu. Berikut adalah berdasarkan pandangan Ir. Ahmad Jais bin Alias :

Manusia sering memusuhi perkara yang tidak difahaminya. Kenapakah manusia begitu?

Jawapan yang mudah adalah kerana ia fitrah kejadian manusia. Lihat sahaja bayi yang baru lahir. Sebaik sahaja keluar dari rahim ibunya, bayi akan menangis dan merengek kerana berdepan dengan persekitaran yang baru. Begitu juga apabila anak-anak kita mahu memulakan persekolahan, ada yang tidak mahu ke sekolah serta pelbagai kerenah. Kenapa semua ini berlaku? Ini kerana mereka tidak memahami perubahan yang berlaku ke atas mereka.

Betapa sebenarnya kita telah mengalami proses-proses perubahan yang berulang kali. Tetapi ada satu perkara yang menyebabkan kita enggan menerima perubahan itu.

Kerana kita tidak memahaminya.

Masakan seseorang itu ingin berubah ingin menjadi yang lebih baik sedangkan hakikatnya dia tidak faham mengapa dia ingin berubah?

Sedangkan burung sendiri tahu waktu bila ia perlu terbang ke langit.

Satu sahaja yang membantu seseorang itu mudah menerima perubahan : Jadilah ‘pelajar’ kepada perubahan!

AGENDA PERUBAHAN

Hari ini cerita seperti Nur Kasih, Syahadat Cinta, Kiamat Sudah Dekat, menggambarkan golongan yang awalnya melakukan maksiat, ataupun derhaka dan kuat membuat dosa, akhirnya berubah sekelip mata kerana kematian, kemalangan ataupun terpenjara. Hal yang demikian menjadikan si pelaku dosa menyesal dan kembali ke pangkal jalan.

Ada juga yang berubah kerana inginkan sesuatu yang dicintainya, sepertimana yang telah digambarkan dalam hadis pertama dalam syarah Arbain :

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya kearah perkara yang ditujuinya itu (kahwin)

Dalam situasi yang pertama, memang tidak dinafikan bahawa perubahan itu boleh berlaku dalam keadaan seseorang itu menghadapi musibah yang menimpa dirinya. Dia mungkin kehilangan sesuatu yang begitu penting, akhirnya membawanya ke pintu hidayah, god spot (titik tuhan). Tetapi belum tentu lagi perubahan itu berlaku sepenuhnya, selagi dia tidak berusaha ke arahnya.

Saya mendengar satu cerita yang bermakna.

Pada tahun 1996, seorang mualaf memeluk Islam atas sebab cinta. Shah Kirit  menceritakan bahawa dia memeluk Islam kerana dia tertarik untuk mengahwini seorang muslimah. Mungkin atas sebab gadis muslimah itulah Shah Kirit menemui hidayah Allah. Namun seperti katanya, untuk menukar daripada agama asal ke agama Islam semata-mata untuk bernikah, itu tidak masuk akal. Dia perlu meyakini dan memahaminya.

Shah Kirit meninjau dan mendalami Islam sepenuhnya, untuk apa dia cari dan kenapa dia pilih Islam. Akhirnya dia menemui lebih daripada apa yang diingininya. Dia mendapati Islam adalah agama yang sempurna, praktikal dan menyelesaikan segala masalahnya sehinggakan dia mula mencintai Islam sepenuh jiwanya. Sampai satu saat dia berjumpa dengan ustaz rujukannya menyebut,

“Ustaz, kalau ditakdirkan saya tidak berkahwin dengan gadis tadi, saya takkan tinggalkan Islam”,

Mereka menemui jalan perubahan itu ketika terjumpa suis ‘berubah’ melalui pengalaman masing-masing. Mungkin bagi kita yang masih tidak berubah ini, kita perlu mencari suis itu, biarlah dalam gelap sekalipun, asalkan kita berusaha menuju itu.

Ingatlah perubahan itu tidak akan datang terjawab andai kita menunggu ‘SIAPA’ dan ‘BILA’. Kitalah hakikatnya jawapan bagi SIAPA dan BILA itu. Kitalah perubahan yang kita cari.

PERUBAHAN YANG SEBENAR

Suka untuk saya bawakan di sini bahawa untuk menggerakkan jentera perubahan dalam diri kita dengan meninjau kembali bagaimana generasi awal Islam dahulu berhijrah. Sekelompok umat yang berhijrah itu merentasi padang pasir yang panas, perjalanan yang jauh, dengan meninggalkan harta mereka di belakang. Malah ada yang terpaksa meninggalkan saudara mara. Hal ini semua demi menyelamatkan iman, menyahut seruan langkah baru dakwah Islam.

Lihatlah betapa peristiwa hijrah ini menjadi satu tanda signifikan hingga tarikh hijrah ini dipilih menjadi kalender umat Islam, sehingga hari ini kita menggunakannya. Sepertimana yang disebut oleh ustaz Hasrizal dalam perkongsiannya di MHI pagi Jumaat Maal Hijrah 1431;

“Hijrah dipilih sebagai peristiwa yang signifikan untuk menandakan permulaan kalender Islam hasil keputusan mesyuarat pada zaman Saidina Umar Al-Khattab (17H). Dalam banyak-banyak peristiwa yang berlaku dalam sirah nabi s.a.w., hijrah itulah titik perubahan (turning point). Bukan kelahiran nabi, bukan penurunan wahyu”

Hijrah bukan kerana lari. Tetapi cari ganti.

Mereka memilih jalan baru untuk survival Islam yang bakal menyinar di bumi Madinah. Ansar yang terdiri dari Aus dan Khazraj menunggu dengan hati yang terbuka sebagai saudara baru bagi meninggikan lagi kalimah Islam. Hijrah yang itu memberi impak yang besar terhadap Islam, sehingga titik perubahan itu punca Islam semakin berkembang dan meluas.

Mereka telah membayar harga sebuah perubahan dengan berhijrah.

Tetapi hijrah yang itu tiada lagi.

Melainkan hijrah yang diseru baginda buat kita,

“Tiada lagi Hijrah selepas pembukaan ini kecuali kerana jihad dan niat yang baik, dan sekiranya diperintahkan supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan kebaikan, maka keluarlah” [Hadis Riwayat Bukhari]

Berilah impak pada diri kita dengan berhijrah, agar ianya menjalar berkembang ke jiwa-jiwa yang lain untuk turut sama berhijrah!

3 Responses to Episod 144 : HIJRAH; Bayaran Sebuah Perubahan

  1. nurazah fathirah berkata:

    Betul, betul. Dipaksa berubah tapi tidak mengerti takkan berpanjangan. Malah menyeksa diri.

  2. kahfi8 berkata:

    salaam,

    ana rase bukan syakirin, tapi shah kirit.

  3. Akmal Hakim berkata:

    ok, terima kasih.. shah kirit bin kakula govinchi..

    Sudah perbetulkan, syukran lagi sekali

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: