Episod 21 : Sejarah Menjawab Politik Hari Ini

Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, -“Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi”. Mereka berkata, “adakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?” Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. (Surah Al-Baqarah : 30)

 

Bicara politik kontemporari ini,

 

Saya terimbas kembali satu kisah sahabat Rasulullah S.A.W, seperti yang disabdakan nabi, seorang yang berjalan sebatang kara, meninggal sebatang kara, dan dibangkitkan sebatang kara. Beliaulah Abu Dzar Al-Ghifari, sahabat yang berasal dari suku kaum yang dinamakan Ghifar1, kemudian bersendirian mencari penyuluh cahaya sebelum datangnya cahaya yang dibawa oleh Rasulullah.

 

Beliau yang asalnya beragama Nasrani berhijrah dari satu tempat ke suatu tempat untuk mencari petunjuk, seorang demi seorang pendeta, akhirnya peroleh klu  seorang pendeta yang terakhir bahawa akan adanya seorang manusia yang akan mengubah dunia sebagai seorang pemimpin, seorang nabi yang membela dan membimbing ummah kearah jalan yang benar. Akhirnya, bertemu  juga Abu Dzar dengan orang yang disebut-sebutkan itu, Muhammad, utusan terakhir.

 

Abu Dzar al-Ghifari sebenarnya adalah seorang yang mempunyai kepercayaan tentang ketuhanan serta iman kepada Tuhan yang Maha Besar lagi Maha Pencipta. Kerana itulah sebaik sahaja ia mendengar ada seorang nabi telah dibangkitkan yang mencela berhala-berhala serta pemuja-pemujanya, dan menyeru agar beribadah kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa maka ia pun tanpa lengah menyiapkan bekal dan melangkah mendapatkan di mana Nabi s.a.w tersebut berada. Subhanallah, ia termasuk juga dalam golongan As-Sabiqun Al-Awwalin, antara golongan yang mula-mula memeluk Islam.

 

Sahabat yang berjiwa radikal dan revolusioner ini begitu tegas dalam hal-hal yang haq, dan ia begitu benci dengan setiap perkara yang batil. Pernah diriwayatkan suatu hari datang 2 orang wanita yang bertawaf keliling berhala sambil memohon kepadanya, Abu Dzar segera berdiri menghalang, dan di hadapan berhala-berhala itu dihina sepuas hatinya. Maka memekiklah 2 orang wanita itu hingga datang orang ramai menghujani Abu Dzar, ‘burger’, belasah dan memukul Abu Dzar hingga tidak sedarkan diri. Begitulah keadaannya, orang yang berpegang “bahawa tiada tuhan yang haq untuk disembah selain Allah, dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah”, Abu Dzar tetap bertegas.

 

Satu perkara yang ingin saya highlight, Rasulullah bertanya kepada Abu Dzar;

 

“Wahai Abu Dzar, bagaimana pendapatmu apabila menjumpai para pembesar yang mengambil barang rakyat untuk diri mereka sendiri?”

 

<————————————————->

 

Bayangkan, sejak PRU ke-12, Mac lepas kemelut politik masih tidak berkesudahan. Tiap-tiap hari muncul di dada akhbar sehingga hari ini masalah politik, tuding-menuding jari, fitnah, dan sebagainya. Perkara ini sentiasa berterusan tanpa penyelesaian, malah lebih melarat. Inilah dia kerosakan  yang kita kecapi di negara kita sendiri, pemimpin-pemimpin tidak melaksanakan sistem Islam yang sebenar, rakyat pula buat hal, akhirnya kita tiada konklusi.

 

Firman Allah;

“Dan janganlah kau patuhi setiap orang yang suka bersumpah dan suka menghina,

Suka mencela, yang kian kemari menyebarkan fitnah

Yang merintangi segala yang baik, yang melampaui batas dan dan banyak berdosa

Yang bertabiat kasar, selain itu juga terkenal dengan kejahatannya”

 (Surah Al-Qalam : 10-13)

 

Tanpa kita tadabbur(mengerti & menghayati) Al-Quran, manusia seolah-olah merasakan tindakan mereka betul, kononnya juga untuk kepentingan bersama, tetapi semua idea-idea itu datang dari minda manusia yang lemah, tak sedar diri itu berwatak hamba kepada yang Maha Bijaksana, kerana dengan setiap qalam-Nya itulah mukjizat yang masih ada sehingga kini.

 

Tsunami politik dalam negara kita tidak kira samada Barisan Nasional atau Parti Pembangkang berkempen menggila-gila untuk membuktikan pada rakyat akan kewibawaan kedudukan politik masing-masing. Tapi hari ini tidaklah seperti yang dijangkakan. Semuanya omongan kosong, tanam tebu di tepi bibir. Bagaimana hal ini boleh berlaku?

 

Kerana, kita seolah-olah meletakkan politik itu yang paling utama. Satu keutamaan yang paling dominan dalam kehidupan. Andainya seni kehidupan kita sebuah gunung, maka politik itu diletakkan puncaknya. Maka tidak hairanlah kenapa antara keluarga sendiri pun boleh berlaku perpecahan hanya kerana berbeza aliran politik(hal ini berlaku pada keluarga saya sendiri). Pagi, petang, siang dan malam minda kita dibasuh dengan subconscious mind(minda separa sedar) untuk berfikir keadaan politik negara sehinggakan bercabang lagi mehnah dan tribulasi yang bakal melanda. Isu minyak mengelegak di darah-darah rakyat, fitnah bertaburan dalam kalangan pemimpin, rasuah dan sebagainya.

Adakah dengan keganasan mampu mengubah keadaan?

 

 

Kita melihat demonstrasi, demonstrasi, dan inilah dia imej kita. Imej orang-orang kita, rakyat kita, khususnya orang Islam. Kesudahannya? Adakah dengan berdemonstrasi ini membawa penyelesaian? Pendemonstrasi itu sebenarnya menunjukkan imej keganasan, satu jawapan kepada orang-orang yang memusuhi Islam. Akhbar harakah membuktikan kelemahan kepimpinan kerajaan, akhbar Berita Harian & Utusan Malaysia sebaliknya. Kita hanya melihat di kaca televisyen dan mempercayai bulat-bulat media massa.

 

Kita lupa pada sejarah kita, sejarah Islam. Sambungan kisah al-Ghifari tadi

<————————————————->

Kata Abu Dzar,

“Demi Zat yang mengutus tuhan dengan kebenaran, akan saya tebas mereka dengan pedangku!”

 

Sabda Rasulullah pula,

“Mahukah kamu saya beri jalan yang lebih baik dari itu? Ialah bersabar sampai kamu menemuiku”..

 

Maka Abu Dzar akan selalu ingat kepada wasiat guru dan Rasul ini. Ia tidak akan menggunakan ketajaman pedang terhadap pembesar yang mengaut kekayaan dari harta rakyat sepertimana yang dinyatakan. Tetapi ia juga tetap tidak mendiamkan diri untuk menegakkan haq!

 

Keadaan yang telah ditanya oleh Rasulullah itu benar-benar berlaku selepas kewafatan baginda, wujudnya   pemimpin-pemimpin yang menggunakan ekonomi negara untuk kepentingan diri. Beliau berhadap dengan mereka-mereka dengan menyatakan perkara yang haq, andainya Rasulullah tidak wasiat kepadanya, sudah tentu akan terbunuh pemimpin yang korupsi ini di tangannya.

<————————————————->

 

Berlaku juga perpecahan sesama manusia ini adalah kerana wujudnya orang-orang yang suka mengadu domba, fitnah dan berburuk sangka. Sejarah sendiri telah membuktikan berapa banyak tamadun dan kuasa-kuasa besar dunia hancur akibat menggejalakan budaya fitnah dalam kehidupan bangsanya. Itulah sebabnya Islam memandang fitnah lebih buruk daripada membunuh.

 

Teringat pula peristiwa pembunuhan Saidina Uthman, detik paling tragis lantaran fitnah yang melarat-larat. Keadaan ini sendiri membawa kepada pertelingkahan hebat terhadap para sahabat. Natijah daripada gerakan penabur fitnah ini telah berjaya menimbulkan kekeliruan di kalangan umat hingga akhirnya sanggup membunuh khalifah ketiga ini dengan cara yang tidak berperikemanusiaan.

 

Pada hari Khalifah Uthman dibunuh, sejumlah 3,000 orang pemberontak mengepung rumah beliau ketika ramai para sahabat menunaikan haji di Mekah. Beliau ditikam dengan pisau sehingga terpecik darah beliau ke mushaf yang ketika itu sedang dibacanya. Isterinya yang cuba menahan putus kesemua jarinya kanannya. Tahukah mengapa hal sehingga ini boleh berlaku?

 

Menurut catatan kitab Tarikh At-Tabari,

Pembunuhan dan fitnah ini berlaku akibat wujudnya pengadu-pengadu domba yang diketuai Abdullah bin Saba’(orang Yahudi). Beliau dan pengikutnya berusaha bersungguh-sungguh mencetuskan keraguan dari suatu tempat ke suatu tempat termasuklah Kufah, Basrah hingga ke Mesir terhadap kepimpinan dan keIslaman Uthman yang berpusat di Madinah ketika itu.

 

Apakah kaitannya dengan politik hari ini?

 

 

Berhubung dengan kes liwat, pembunuhan Altantuya, masalah penternakan babi, pembalakan, pembangunan dan sebagainya, anda boleh fikir sendiri kesan tindakbalas manusia semua. Mana taknya politik kita harus diterima keadaannya seperti ini?

  

 

Orang yang menuduh meliwat termasuk juga menuduh seseorang melakukan zina. Mengikut undang-undang Islam, penuduh mestilah sekurang-kurangnya 4 orang saksi. Tanpa saksi yang cukup, penuduh akan dikenakan 80 kali sebatan. Selain 4 orang saksi, cara lain untuk terlepas dari sebatan itu adalah dengan menggunakan qarinah(bukti).

<————————————————->

 

 

 

Seharusnya, sebagai hamba Allah, sebagai orang yang berjuang di atas kebenaran, kita sendiri mengakui Islam itu syumul(menyeluruh). Tindakan kita terhadap politik sepatutnya diletakkan pada suatu tempat seiring dengan pembangunan ekonomi, keluarga dan seterusnya. Sebagai satu definisi,dalam Venn Diagram, politik itu hanyalah sebagai satu titik dalam sebuah bulatan untuk menegakkan negara Islam, sedangkan tarbiyah itulah yang paling diutamakan, epsilon atau bulatan yang menjadi tunjang utama. Apabila tarbiyah itu dapat dijalankan dengan sempurna, insya-Allah kejayaan kita dalam berpolitik pasti akan dapat dikecapi. Tukarlah fikiran, pagi petang siang dan malam anda penuh dengan memikirkan tarbiyah diri dan tarbiyah umum!

 

Sebagai mengakhiri penulisan saya, rakyat semua  terutamanya pemuda dan pemudi, seharusnya  mengkaji dan menghayati sejarah sebagai satu panduan khususnya sejarah Islam, sebagai manhaj dalam kita berpolitik. Lim Guan Eng yang bukan beragama Islam sendiri sudah khatam tentang sejarah Umar Abdul Aziz. Mengapa tidak kita?  Saya teringat buku teks sejarah tingkatan satu, petikan George Santayana;

 

“Those who  forget the past are condemned to repeat it”

 

Yang paling penting jangan terkejar-kejar dalam membentuk khilafah islamiyah selagi penduduknya tidak islam sepenuhnya. Adakah kita mahukan negara ini benar-benar melaksanakan Islam tetapi rakyat masih ramai meninggalkan ajaran Islam? Kerja-kerja menegakkan Islam itu adalah wajib, insya-Allah kerja kita yang berterusan, bekerjasama dalam menegakkan Islam, pastinya suatu hari Islam akan tertegak di bumi kita. Seperti kata Hassan Hudaibi;

 

“Tegakkan negara Islam dalam dirimu nescaya akan tertegaklah negara Islam di bumi”

 

Wallahu a’lam

 

 

 

 

Pesanan buat diriku: Hakim, didiklah dirimu dengan nilai kepimpinan, andai suatu hari kau dipilih menjadi pemimpin yang menggantikan mereka-mereka yang tidak mengamalkan manhaj islam. Tetapi, andainya kau tidak dipilih, maka pilihlah jalan dengan meramaikan generasimu yang mengamalkan kepimpinan andai mereka bakal dididik untuk menjadi orang-orang yang menggantikanmu. Ingatlah, Rasulullah suka umatnya yang ramai J.

 

 

 

1 :Ghifar adalah satu kabilah atau suku yang sangat kuat dalam berjalan menempuh jarak. Mereka menjadi ukuran perbandingan dalam melakukan perjalanan yang luar biasa. Malam yang kelam dan gelap gelita tidak menjadi halangan bagi mereka, dan binasalah orang yang tersesat atau jatuh ke tangan kaum Ghifar di waktu malam!

 

-Sirah Ibn Hisyam, Bab 3 Halaman 53.

4 Responses to Episod 21 : Sejarah Menjawab Politik Hari Ini

  1. amiratul nadiah berkata:

    salam..
    akmal..well done..
    what a good article..
    tp hati-hati dlm membicarakan isu politik..
    kita masih lagi seorang pelajar..
    tp yg pastinya artikel ko ni mmg tentang realiti kita di malaysia sekarang..

  2. amierwan berkata:

    salam..

    i am impressed anyway,

    as a younger generation we should able to voice out our concern to what really happen right now.

    the nation is belongs to no one, except yours!

  3. senikehidupan berkata:

    Salam, hanya membicarakan tentang politik, bukan bermakna kita obses tentang politik, tetapi menunjukkan bahawa kita peka pada keadaan sekeliling. Tidak sedikit pun terlintas untuk berpolitik, atau membicarakan tentang politik, but today’s circumstance, we should.. Memang bahaya kan, tapi sekadar memperingatkan, bahawa kita sekarang bukan hanya lupa pada sejarah, malah, malas untuk mengetahui sejarah.. Harap dapat jelas entri kali ini.. Tak masalah pun, cuma mungkin agak sensitif dari gambar sahaja..

    Maaf andai tersilap..
    Segala yang baik daripada Allah, yang buruk juga datang daripadanya, tetapi disampaikan kepada makhluk-Nya yang lemah ini..

    Tegurlah andai ada kesilapan dalam post kali ini..:)

  4. Azlan Zainal (ex-KU 02) berkata:

    Salam, tahniah adikku, teruskan berjuang, jangan takut dan gundah gulana, jagalah hak Allah, maka Allah akan menjaga hak kamu-Azlan Zainal (0132968730)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: