Episod 26 : Bangunlah Dari Lenamu Adik-Adikku!

Ogos 9, 2008

“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku” (Surah Ibrahim : 40 )

Hari ini saya berpogram di sebuah sekolah rendah. Agak terpencil. SK Sendayan namanya. Tapi suasana di sini agak berbeza berbanding dengan sekolah-sekolah rendah di kampung. Murid-muridnya tidak begitu nakal. Pada saya, bila sebut sahaja Khemah Ibadah, SMART Solat dan sebagainya untuk menjadi fasilitator, paling saya khuatir mengajar budak-budak sekolah rendah, takut-takut mereka ni sudahlah tak faham, main-main pula. Tapi, kali ini agak berbeza. Saya mendapat semangat untuk mengajar murid-murid ini. Mudah untuk dibentuk, malahan, ramai yang sudah pandai segenap perkara dalam solat dengan begitu baik.

Menyebut tentang program, sebati sungguh dalam hidup saya. Saya selalu turun ke Negeri Sembilan untuk tujuan ini daripada UIAM. Penat? Tak terasa, malah memuaskan hati. Mana tidaknya, kita berhempas pulas untuk membentuk adik-adik, akhirnya ia membuahkan hasil. Bukankah ianya satu kepuasan yang melupakan penat lelah?

“Easy to solat, solat tooooo easy!!!” Jerit murid-murid SK Sendayan seraya mematuhi arahan akhi Luqman sambil bergaya sebagai trademark dalam program ini.

Program ini begitu memuaskan. Pada fikiran kami, murid-murid pelajar darjah 6 ini masih lagi kurang faham tentang pelajaran-pelajaran fardu ain. Rupa-rupanya sangkaan kami silap. Seronok rasanya mengajar mereka dalam masa yang sama mereka sudah faham. Melalui kumpulan saya, walaupun separuh dari murid-murid ini agak bijak, terdapat seorang di antara mereka yang lambat faham. Hal ini berlaku kerana kegagalan dalam membaca. Apatah lagi disuruh menulis. Saya tidak putus asa. Adik-adik tetap bawah usaha saya!

Baca baki entri ini »